Tuesday, June 10, 2008

Membetulkan tasawwur perjalanan hidup




Subhanallah....kita perlu selalu hadir dalam majlis ilmu.
Majlis ilmu penuh keberkatan.
Majlis ilmu membantu diri membetulkan tasawwur perjalanan hidup bilamana tersasar.
Majlis ilmu mengingatkan diri hamba yang begitu sombong terhadap Penciptanya.
Majlis ilmu sentiasa mendatangkan manfaat dalam hidup hambanya yang ikhlas mencari-Nya.
Majlis ilmu menyedarkan banyaknya dosa terhadap Allah.

Hadirkanlah dirimu sentiasa dalam raudhah jannah dunia sebelum kamu diizinkan olehNya melangkah masuk kedalam raudhah jannah yang abadi.
Hadirkanlah dengan keadaan merendah diri dengan niat untuk menadah sesuatu buat manfaat diri,kerana air tidak dapat ditakung pada tanah yang tinggi.
Hadirkanlah dirimu sebagai hamba yang jahil,kerana air tak dapat diisi dalam bekas yang penuh.

Hadirkanlah tawadhu'mu, renunglah hikam Athaillah

ادفن وجودك في ارض الخمول فما نبت مما لم يدفن لم يتم نتاجه
(Benamkan wujudmu di dalam bumi yang dalam,kerana benih yang tidak dibenamkan tidak sempurna hasilnya)

Fahamilah,Telah diceritakan oleh guruku,bahawa ada seorang tua di Mekah sempat berguru dengan beberapa generasi pengajar,walaupun dirinya layak menjadi guru.Tidak puas ia memegang gelaran penuntut.
Fahamilah,bahawa gelaran seorang penuntut menjadi asbab seluruh ikan dilaut dan makhluk mendoakan keampunan buatnya.
Fahamilah hal yang demikian tidak dapat dicapai jika tiada ikhlas ketika menuntut.
Fahamilah jika dirimu merasa dirimu ikhlas bahawa sebenarnya dirimu bukanlah ikhlas.
Fahamilah bahawa ikhlas itu anugerah Allah,bukanlah ia sebenarnya lahir darimu seperti selama ini kamu sangkakan.
Fahamilah akan matlamat hidup yang hakiki dan teruskan perjalanan hidup dengan tasawwur yang selalu digilap.

Semoga perjalananmu indah bersamaNya,
Semoga ilmu yang diperolehi dituruti dengan amal.
Semoga dapat kamu beristiqamah dengan amalmu.
Semoga kamu faham bahawa itulah sebenarnya keberkatan dalam menuntut ilmu.

No comments: