Monday, November 22, 2010

Bermula pencarian nasab...



Alhamdulillah...mungkin berkat kekerapan menziarahi maqam Syeikh Abdullah Fahim sepanjang menduduki peperiksaan STAM di Daeratul Maarafi Wataniah.Sabtu bersamaan 20 hb November 2010,al-faqir mengikut abah ke kenduri walimah di Permatang Tinggi,Kepala Batas.Usai menjamah nasi kenduri,abah bersembang dengan saudara yang abah panggil Abg Mud.Tidak disangka sedikit sebanyak maklumat yang al-faqir perolehi yang dirasakan berharga.Baru saja minggu lepas al-faqir membelek kitab Adab-Adab Salikin terjemahan Syeikhna Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki karangan Syeikh Mahmud Muhammad as-Subki,seorang ulama terkemuka al-Azhar suatu ketika dahulu.Pada nota kaki,Syeikhna menaqalkan suatu anjuran ulama yang menuntut kita mencari salasilah nasab keturunan pada jasad diri dan juga nasab bagi roh.Selama ini al-faqir kerap bertanya abah perihal keturunan.Tetapi,Sabtu lalu terjawab suatu persoalan yang terbuku dalam diri,adakah ada pertalian darah antara keluarga di sebelah abah dengan ulama tersohor Pulau Pinang,Syeikh Abdullah bin Ibrahim bin Tahir bin Kamaluddin atau lebih dikenali sebagai Syeikh Abdullah Fahim.Ternyata ada pertalian antara susur galur nasab abah dengan Syeikh Abdullah Fahim melalui emak abah al-faqir iaitu Hajjah Ramlah binti Haji Ahmad binti Mat Saman.Ibunya ialah Hajjah Aminah binti Ibrahim binti Hussein.Hajjah Aminah mempunyai dua saudara iaitu Haji Ahmad dan Fatimah.Hussein merupakan sepupu kepada datuk Syeikh Abdullah Fahim iaitu Tahir.Panggilan keluarga abah kepada Syeikh Abdullah Fahim ialah Tok Ngah Lah.Beliau sering berkunjung ke rumah nenek serta nenek saudara abah,iaitu Haji Ahmad dan Fatimah.Perihal nenek abah,Hajjah Aminah binti Ibrahim ini,cerita abah, beliau merupakan seorang yang kuat berzikir.Mempunyai ruang solat yang khusus buatnya di rumah.Sering meriba abah diwaktu kecil sambil memegang tasbih meratib.Abah bercerita,Hajjah Aminah ini ketika menunaikan haji di Mekah,cucunya,Fatimah,iaitu anak kepada Ramlah (kakak abah) telah meninggal dunia.Beliau dapat tahu yang cucunya meninggal melalui khabaran mimpi ketika berada di Mekah.Abangnya,Haji Ahmad merupakan guru al-Quran dan juga seorang yang mempunyai kebolehan merawat (bomoh) yang terkenal di Permatang Tinggi serta seluruh Kepala Batas.Apa yang menjadi persoalan pada al-faqir ialah mencari nasab penuh Syeikh Abdullah Fahim.Setakat diketahui, ialah Abdullah bin Ibrahim bin Tahir bin Kamaluddin.Bermakna Tahir merupakan sepupu kepada Hussein.Bermakna Kamaluddin dan ayah (atau emak) Hussein merupakan adik beradik.Setakat ini mungkin sedikit sebanyak maklumat dari kajian Tuan Guru Wan Shaghir dapat membantu al-faqir.Apa yang jelas,mereka berasal dari ulama-ulama Pattani yang berhijrah ke Seberang Perai dan membuka perkampungan .Terasa gembira mendengar cerita Pak Cik Mud tentang pengalamannya bersama Tok Ngah Lah.Beberapa karamah Tok Ngah Lah sempat dicerita melalui pengalaman beliau sendiri.Cerita abah,dahulu masa abah kecil,setiap malam Jumaat diadakan bacaan Burdah al-Busiri di Masjid Jamiul Badawi Kepala Batas.Abah sempat solat bersebelahan Syeikh Abdullah Fahim.Diharapkan al-faqir dapat menjejaki setinggi mungkin susur galur nasab keluarga.InsyaAllah.Doakan.al-Fatihah hadiah buat Al-Allamah As-Syeikh Abdullah Fahim.

Thursday, November 11, 2010

Ijazah 'Ammah..

Ijazah 'Ammah dari para masyaikh yang al-faqir sempat ambil :

1. Murobbi Syeikh Yusuf Mahyuddin al-Bakhour al-Hasani
2. Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Baith al-Kattani
3. Syeikh Jamal Farouq ad-Daqqaq al-Hasani
4. Syeikh Muhammad Ismail Ibrahim Abul Huda al-Ya'qoubi
5. Syeikh Usamah Said al-Azhari
6. al-Habib Kazim Musa as-Saqqaf
7. Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki
8. Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Nadwi al-Maliki
9. Syeikh Muhammad Husni Ginting al-Langkati
10. Syeikh Syukri Unos al-Banjari
11. Syeikh Abdul Hamid Abdul Rahman al-Jarumi
12. Syeikh Ahmad (Pak Teh Mat Kuala Nerang)

*Doakan moga peroleh ilmu manfaat

Wednesday, September 29, 2010

3 Hikam buat bekalan....

Hikam merupakan himpunan kata-kata hikmah.Semestinya pemilik kata-kata hikmah yang bersih hati mereka menjadi panduan buat yang ingin mengambil pedoman.Hikam Ibn Athoillah as-Sakandari,Hikam Abi Madyan al-Ghauts dan Hikam Arsalan seolah mempunyai tautan yang begitu erat untuk menerangkan pada salik cara-cara jalan menuju Allah.Sememangnya sukar untuk memahaminya bagi kita yang diperingkat awam ini.Sekadar mendengar pengajian yg disampaikan syeikh dan kembali menyemak dan membaca serta menghayati,moga-moga mendapat pandangan daripada-Nya melalui al-fatihah hadiah buat Rasulullah dan penulis kitab.
Ulama Nusantara seolah berpakat membahagi-bahagikan tugas untuk kitab itu turut sama difahami oleh orang 'ajam seperti kita.Syeikh Abdul Malik Pulau Manis (Tokku Pilau Manis) dari Terengganu menterjemahkan Hikam Ibn Athaillah,Syeikh Daud Al-Fathani menterjemah serta mensyarahkan Hikam Abu Madyan al-Ghauts dengan syarahnya bertajuk Kanz al-Minan.Manakala Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari menterjemahkan syarah Hikam Arsalan yang ditulis oleh Syeikhul Islam Zakaria al-Ansari.
Tentunya hikam tersebut merupakan pedoman penting buat salik yang ingin berusaha mencicip rasa manis dari kata-kata empunya kitab yang merupakan kekasi-kekasih Allah.
Sekadar khulasah ringkas yang difahami dari ketiga-tiga hikam tersebut mengajak insan itu keluar dari diri hingga menyaksikan bahawa yang wujud hanyalah Allah.Berusaha untuk mengenal Allah dengan tidak menuntut diri itu dikenal.Berusaha untuk sentiasa berzikir walaupun diri itu berzikir dalam keadaan lalai dengan mengharapkan zikir yang lalai akan diangkat oleh Mazkur menjadi zikir yang hudhur hingga peringkat seterusnya zikir dilepaskan dan yang tinggal hanyalah Mazkur yakni Allah.Nafsu itu tidak bisa dihapuskan melainkan dengan sentiasa merintih memohon bantuan dari-Nya.Disyarahkan oleh Syeikhna,Syeikh Muhammad Fuad kamaluddin al-Maliki akan perihal tidak ingin dikenali itu melalui kisah Uwais alQarni yang dianggap gila oleh penduduk negerinya kerna sentisa menjauhkan diri dari orang ramai.Hanya dikenali setelah diperkenal oleh Sayyidina Umar al-Khatab setelah menyampaikan salam Rasulullah buat Uwais al-Qarni.Kalaulah dizaman itu Uwais al-Qarni menjauhkan diri dari orang ramai,kalaulah Sufyan ath-Thauri mengatakan tidak salah beruzlah menjauhkan diri dari orang ramai pada zamannya,kalaulah al-Imam al-Ghazali dalam kitab Minhajul 'Abidin bilamana menaqalkan kata-kata Sufiyan ath-Thauri menyatakan ianya merupakan fardhu pada zamannya,maka apatah lagi pada zaman ini.Wallahu'alam.Didalam kitab-kitab hikam ini juga menekankan betapa perlunya kepada ilmu untuk berjalan menuju-Nya.Pendek kata,berlegar-legar perbincangan didalam hikam ini disekitar ilmu,amal,fikir dan zikir dan lainnya.Wallahu'alam.
"Tidak kami memahami hakikat yang sebenar yang ingin disampaikan oleh empunya Hikam ini ya Allah."
"Hanya berharap di fahamkan oleh-Mu ya Allah"
"Dengan berkat al-Fatihah hadiah buat pemilik Hikam ini serta yang berkhidmat untuk umat memahaminya"
"Maka terimalah"
"Dengan rahmat-Mu,Ya arhamarrahimin"
Ameen.
*Doakan al-faqir

Tuesday, August 10, 2010

Syurga Dar al-Maliki




Terasa indah sekali setiap kali berada di syurga dunia Dar al-Maliki.Alunan Qasidah yg mengasyikkan serta diselangi dengan huraian ilmu guru dikasihi Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki.Rasanya sukar untuk mencari tempat-tempat pengajian sedemikian.Keberkahannya dirasa.Sentuhannya......Allah Allah.Dikelilingi kitab-kitab rujukan.


Huraian ilmu yg mencakupi pelbagai bidang ilmu.Dari suatu huraian,akan menerbitkan cabang-cabang huraian yg didalamnya disebut nama-nama dan kisah ulama' muktabar.Dari satu kitab ke satu kitab disebut rujukannya.Akhirnya kisah yang asal tadi kembali untuk dihuraikan dan berganjak pada bait-bait yang seterusnya dalam sesuatu kitab yg dijadikan teks pengajian.


Agak lama kuliah,diselangi dengan alunan qasidah antaranya, "Allah Allah Allah Allah maa la na mawla siwallah....","Ya Ajmala al-anbiya ya akmal al-asfiya...."..Man mithlu Ahmada fi......" dan lain-lain dengan alunan suara merdu beserta paluan kompang.Dalam sejuk aircond yang segar sambil membelek-belek kehalusan makna qasidah yang tak lain tak bukan menunaikan hak pada nama baginda SAW ,Muhammad ( atas wazan mufa'alun yakni isim maf'ul) bermaksud yang dipuji.Menyambung turath sahabi Hasan Thabit,Abdullah Rawahah dan para sahabat yang tidak jemu memuji baginda SAW.


Curahan berkat dibumi yg dikelilingi bumi yang saban hari dinodai pelbagai titik-titik hitam dunia dihati manusia...Kekontangan pemilik hati terus menadah curahan berkah di Dar al-Maliki. Setiap kuliah-kuliah dimaklumkan dengan baik menjemput insan-insan yg merindui Baginda SAW.


"Allah Allah aghitsna ya Rasulallah......."......."Wulidal huda al-kaainat..." terus bergema pujian.Hati terus merintih mengharap syafaat baginda SAW.Hati yg gersang ini terus merintih merindui senyuman halus indah Baginda SAW.Moga dapat melihat walau seketika di dalam mimpi dunia ini,kerna diharapkan sesaat memandang baginda di alam mimpi lena dunia ini akan memacu kerinduan dan kecintaan untuk terus menggapai redha-Nya yang menjadi maksud kehidupan.


Dar al-Maliki merupakan tempat curahan keberkatan....Kerna pengisiannya,kerna ikhlas guru dan penuntutnya.Tiada pernah jemu untuk hadir biarpun mendapat informasi secara mengejut bahawa kuliah akan diadakan.Tiada apa yg diharapkan oleh penuntut-penuntut yg hadir.Tiada bayaran.Tetapi kecintaan Baginda SAW menjadi harapan.Disana terdapat keterikatan yang erat antar Dar al-Maliki dengan Dar al-Hasani.Syukur,Alhamdulillah.

Mendidik cinta Rasulullah......menggapai cinta Allah.

Dar al-Maliki dan Dar al-Hasani...syurga...maka singgahlah. =)
"Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Muhammad itu rasulAllah"

*Doakan al-faqir

Ramadhan Kareem.

Monday, June 21, 2010

Wahai Kekasih...

http://www.youtube.com/watch?v=ldyy1wQnk0U&feature=related

Wahai Kekasih.....

http://www.youtube.com/watch?v=ldyy1wQnk0U&feature=related